About Me

My Photo
Cinta kau dan aku Takkan mungkin bersatu Untuk saat ini di dunia ini Mungkin kita bersama Nanti di atas sana Biar ku setia menjaga cintamu Selamanya

Wednesday, August 24, 2011

- Dua Rose -




Dua kuntum  Rose diperkuburan..
Kerana genap dua tahun, dirimu dilahirkan....
Hancur hati kami, kehilanganmu..
Lebih hancur lagi, melihat kesakitanmu..

Satu lagi tahun, satu lagi hari...
Bersama kenangan yang takkan terbeli..
Tangisan rindu tak pernah menjemputmu kembali...
Sehingga diizinkan kita bertemu sekali lagi....

Tidak perlu hari jadi atau hari kematianmu...
Untuk kami mengingatimu
Kerna satu hari tanpa merinduimu..
Tidak pernah wujud dalam diari hidupku...

Tiada kad yang dapat ku utus..
Apalagi membelai, jejarimu yang mulus..
Hanya tuhan yang dapat menyampaikan..
Kerinduan kami, di hari yang  menyakitkan  menggembirakan..

Saat terbuka mata, di subuh hari..
Terlihat wajahmu, yang sentiasa memerhati...
Dari semalam ku tak sabar lagi..
Untuk bisikkan.. "Adik, Selamat hari jadi!!..."

Tidak seperti hari-harijadi yang lain..
Tiada belon, tiada gaun dan tiada lilin..
Hanya Al-Fatihah, hanya airmata dan hanya migrain,
Kerana yang tinggal hanyalah memori -memori kelmarin.

Selamat Hari Jadi yang ke-2 Anakku.....
Ucapan paling jauh yang pernah ku tujukan...
Buat Alanna Qish anak kesayangan...
Semoga sampai, kepadamu..... itulah harapan.

p/s- Alfatihah buat yang kesekian kali.

Tuesday, August 23, 2011

Posto! Posto Kad Raya!!

Salam Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri...


As-Salam...

Tidak sampai seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari yang paling ditunggu-tunggu.Saban tahun kita menunggu sejak kita masih kecil sampailah kita dewasa... apa lagi kalau bukan Hari Raya Aidilfitri. Banyak kenangan-kenangan lalu yang telah lama kita tinggalkan..

Mana tidaknya, setiap kali menjelang hari rayalah.. mummy yang pernah kecil dulu akan dapat baju baru, kasut baru, stokin baru, hairban baru, boleh dikatakan, semuanyalah nak yang baru. Sepanjang bulan ramadhan permandangan yang paling indah adalah apabila melihat Wan sibuk menyediakan kuih raya, walaupun tidaklah banyak jenisnya. Rindu bunyi "gedek-gedek-gedek-gedek" sepanjang hari apabila Wan mula menjahit langsir.Langsir dulu bunga-bunga.Warna-warni. Ropol-ropol.

Tok Wan pula dengan tugas sendiri, apa lagi kalau bukan mengecat rumah. Rumah papan banyak lapisan kayu, penat sangat nak cat... kena cat satu-satu lapisan kayu.Bukan macam rumah batu sekarang..pakai roll je dengan brush. Yang paling ingat masa rumah cat biru.. wah.. macam balai polis...Hahhahahaha

Petang raya, kami adik beradik sibuk menggantung kad raya, dengan benang... gantung dekat almari, dekat tingkap...kad raya semua cantik-cantik... gambar lemang ketupat, gambar bunga....

Dan yang paling best sekali mestilah malam raya, kami adik beradik sibuk menggantung baju raya masing-masing dekat pintu almari, tenung je sampai tertidur sebab tak sabar nak pakai. Kasut raya pun dah disusun berderet ditepi pintu siap sekali dengan stokin, putih ropol-ropol.

Tapi kami dulu setiap kali raya mesti balik Kelantan..takde negeri lain sebab mak ayah dua-dua orang Kelantan.Dalam kereta Datson, putih tulah kami 4 beradik, bersempit-sempit setiap kali nak menempuh tempoh perjalanan selama 8 -9 jam.

Masing-masing bergaduh nak duduk tepi tingkap.Konon dapat view bukit bukau yang luas. Kalau sampai dekat Gua Musang, mesti berhenti sekejap sebab nak ambil gambar ramai-ramai... Lepas tu sambung balik perjalanan sambil mendengar lagu dari kaset-kaset Tok Wan...Ada kaset Salleh Yaakob lagu hot masa tu Pisang Panas... Pastu sambung kaset Francisca Peter, lagu sekadar di pinggiran, pastu sambung dengan kaset Kumpulan Ekamatra , Pusara di Lebuhraya..berganti-ganti kaset tapi tetap tak sampai-sampai.. jauhnya Kelantan... jalan pulak berbelok-belok...naik bukit turun bukit...sampailah kami penat menyanyi langsung tertidur. Manisnya kenangan-kenangan itu bila ingat balik.....sekarang ni kalau ada duit sejuta pun tak boleh nak beli masa-masa silam tu balik... semua yang berharga tu datang sekali je...sekarang semua terpisah.. kakak yang sulung beraya dengan suaminya, kakak yang kedua pun beraya suaminya..mummy tahun ni pun turn balik rumah kampung daddy kat melaka... adik-adik je dapat beraya dengan Wan dan Tok Wan...Mungkin lepas raya baru dapat berkumpul ramai-ramai semula...Insyaalah.

Cepat kan masa berlalu.. sekarang ni turn Nadime pulak nak mengumpul semula kenangan-kenangan itu...untuk ingatannya di hari tua... Tapi kali ni, mummy tak buat kuih, tak jahit langsir... tak sempat lah sayang.. mummy tunjuk-tunjuk je... Hehe.

Kemahuan tu ada, tapi macam tak sempat.Barang keperluan raya pun belum habis beli lagi.

Tapi baju Nadime semestinya dah siap... apa-apahal barang anak mesti dipenuhi dulu. Masa jalan-jalan beli barang hari tu, terjumpa satu baju kurung kecil polkadot hitam....sebijik baju melayu abang Nadime... Alahai.. mulalah hati ni rasa tak menentu.. mulalah syaitan berbisik kata kalaulah... kalaulah...kalaulah...kalaulah adik ada dah sepasang dengan abang... bertambah sasau mummy kalau banyak jalan....
Nadime pun dalam sibuk-sibuk beli barang dia sempat lagi dia suruh mummy belikan kasut raya adik...."mummy napa tak belikan kasut raya tuk adik" "hish, abang..adik kan tak ada...mcm mana nak pakai kasut raya.." "alah, jom lah kita pergi amik adik dekat hospital...raya sama-sama.." Nadime mummy tak kejam sayang nak tinggal adik dekat hospital tak jenguk-jenguk, kalau mummy boleh pergi ambil adik kat mana-mana sekalipun mummy akan pergi... tapi  adik dah tak ada kat pelusuk dunia ni...
Adik dah pergi jauh sangat....:((

Kesian Nadime, agaknya sunyi sangat Nadime tak dapat nak berkongsi kegembiraan beraya dengan adik kesayangan dia.Insyaalah Nadime tahun depan kalau ada rezeki.
Okaylah, mummy rasa tu jelah kenangan-kenangan paling terindah yang dicipta sewaktu zaman beraya dulu-dulu... walaupun semua gambar-gambar dah tak ada ditelan api kejam. Namun semunya masih segar dalam ingatan.

Sesegar ingatan mummy sewaktu menyambut raya bersama Nadime dan Alanna ketika dalam pantang dulu.Tak sangka itulah Raya pertama dan terakhir Alanna...Selamat Hari Raya Alanna......................yang jauh namun sentiasa dekat di hati mummy.

Selamat Hari Raya juga kepada semua, Mummy, daddy, Nadime dan Alanna ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf Zahir dan Batin jika ada tersilap kata, terkasar bahasa..tersinggung mana-mana hati, mummy kan selalu buat semua yang singgah disini menangis..ada yang teresak-esak..ada yang sampai sakit dada, sakit kepala.... bukan niat mummy, mummy cuma luahkan rasa hati yang sekeping ini.... diharap semua dapat memafkan apa jua yang tidak sempurna... Salam Aidilfitri Buat semua...

Layanlah gambar Nadime, happy sangat dapat pergi jalan shopping-shoping....ditambah ada Umi dan Abi dia... semua nak Umi dgn Abi dia... Mummy dengan Daddy dah tak pandang dah... huh nanti mintak ummi dgn abi duit raya banyak2 tau...:P


 
 
p/s- Nadime the chicky face.. All pics creditsss to Umi and Abi Alisya selaku mak ayah pinjaman Nadime..(& tak lupa Ibu AyuAisya..thanxs for the baju belang2 ijo tuh...match sangat dengan dinding Mall.. hahaha..)

Monday, August 22, 2011

Selamat Hari Lahir, untuk aku.

As-Salam..


Semalam hari jadi mummy..Syukur alhamdulillah kepada Allah kerana mengizinkan mummy melangkah hingga ke hari ini..hingga ke saat ini. Kini mummy telah tiba disebuah perhentian yang tertulis nombor 30.
Hehe..bukanlah rahsia...:P

Perkara pertama yang lakukan pada hari semalam adalah, menghantar satu pesanan SMS kepada Wan menyatakan betapa mummy ingin berterima kasih kerana melahirkan Mummy di dunia ini. Sebenarnya lebih elok call terus kan..tapi Ya allah malu lah nak cakap... dan takut tetiba sebak dan nangis pulak... (nak cakap dengan mak sendiri pun malu..).. Wan, Tanpa Wan siapalah mummy, tanpa Wan takkan wujudnya mummy, begitu juga anak-anak mummy... Nadime, dan juga Alanna yang mummy sayang kan??

Sebenarnya mummy rasa Hari Lahir tuh bukanlah hari untuk meraikan insan yang dilahirkan sahaja, tetapi ia sebenarnya lebih kepada insan yang melahirkan.... susah payah seorang ibu mempertaruhkan nyawa untuk melahirkan seorang anak ke dunia...

Jadi, sempena hari lahir mummy kali ini, mummy nak buat 3 wish... jom pejam mata...:)

Pertamanya, tiada apa yang mummy inginkan sebagai hadiah selain kasih sayang yang tidak berpenghujung dari keluarga, terutamanya Daddy, Nadime dan Alanna Qish walaupun dia telah tiada, terima kasih kerana telah sama-sama mengharung suka duka dan canda tawa di sepanjang perkongsian hidup yang singkat ini.... Mummy berdoa agar disetiap tahun-tahun yang mendatang, mummy masih dapat meraikan hari lahir mummy dengan ketiga-tiga insan yang amat mummy sayangi ini...

Keduanya, Mummy berdoa kepada tuhan agar dipanjangkan usia mummy seiring usia Wan dan Tok Wan.. kerana Mummy teringin sekali untuk merasai pengalaman menjaga kedua-dua orang tua mummy sehingga ke akhir hayat mereka tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun...

Yang terakhir, agar mummy dikurniakan seorang lagi anak perempuan.. bukanlah maksud untuk menggantikan tempat Alanna Qish si jantung hati...kerana tidak akan ada sesiapa yang dapat menjadi penggantinya... Tapi kerana keduabelah tangan mummy ini sudah biasa merangkul dan menepuk-nepuk tubuh kecil.. namun tiba-tiba ianya rasa kosong.. tiba-tiba rasa hilang..... sehingga kedua belah tangan ini terasa seperti sudah hilang punca...seperti tiada lagi nikmatnya...

itu sahaja wahai tuhan......

Daddy ada tanya mummy nak kek apa, tapi mummy kata, tunggu dua hari lagi.. 24 hb ni..sebab mummy nak kongsi kek dengan adik.. Adik, tak sabar nak coret nama kita diatas sebuah kek kan??

Dan daddy pun, seboleh-boleh nak belikan mummy hadiah... suruh mummy pikir nak apa.. Adui tolonglah mummy ni bukan jenis demand ok.. nak belikan t-shirt sehelai pun takpe..Memang dari kecil, tak pernah dimanjakan dengan hadiah.. tu yang tak pandai nak minta-minta ni.. Tapi setiap hari daddy akan msg mummy tanya nak apa...serba salah dibuatnya... selalu tak macam ni..buang tebiat orang tua ni...:P..
Tapi orang dah beriya nak belikan tu... kikiki.. sekali sekala kasik 'pawww' lah sama dia kan...
Hahahaha :P ..tahun ni sayang lebih sikit kat daddy.. *wink*

And finally, Terima kasih daun keladi kepada semua rakan-rakan yang telah wish mummy di FB, mummy tak selalu dapat buka FB.. ada ucapan dari mereka yang mummy kenal, namun ramai juga yang mummy tidak pernah kenal.. sungguh terharu, semua kerana Alanna Qish. Mummy hanya sempat baca melalui email...tak sempat nak balas setiap satu...*jangan marah* :P


Take care semua !!!



p/s- Tapi happy lah dapat beg raya baru, apa-apapun tengkiu daddy untuk beg raya tu.. mummy janji mummy pakai sampai lunyai k... *Oh i love 'G' very much.. dari dulu sampai sekarang setia tak pernah tukar.. sebab design dia semestinya rugged!!!  (Lagipun itu saja yang termampooooooo...:P*)

Wednesday, August 17, 2011

Kita ada adik..

As-Salam..

Last week.. cousins Nadime datang rumah... dua adik beradik perempuan. Comey-comey.


Yang sulung tu dah darjah 3 suka sangat melayan Nadime..yang sorang lagi 4 tahun.. baya-baya Nadime. Nak dijadikan cerita memula jumpa tu excited lah bermain.. tapi biasalah budak-budakkan lepas setengah jam mesti nak gaduh or berebut sumthing.
Itu memang perkara biasa. Selalu Nadime akan bergaduh dengan si adik tu, cuma kali ni bergaduh bukan berebut mainan. Tapi berebut si kakak yang darjah 3 tadi. Si kakak ni lembut, suka melayan Nadime, so Nadime suka sangatlah dengan dia. Sesi bergaduh pun bermula. Mummy perhati je.. suka tengok budak2 bergaduh... macam comel je.


Dialog tarik-tarik pun bermula:


Adik : Ni kakak kita, bukan kakak awak...........:P


Nadime: Ni kakak kita jugak..


Adik: Bukan, bukak kakak awak.


Kakak: heheheh... gelak-gelak bangga jadi rebutan.


Adik: Tepilah, ni kakak kitalah, awak tak ada kakak...


Pastu mummy tengok Nadime diam sambil berfikir sejenak....kesian jugak mummy tengok Nadime masa tu...lepas tu tiba-tiba Nadime cakap..


Nadime: Tapi kita ada adik.. awak tak ada adik...


Adik: tak awak mana ada adik...kita tak nampak pun.


Nadime: adaaaa,  kita ada adik...


Adik: Mana adik awak...??


Nadime: Tuuuuuuuuuuuuuuuuuu...tu adik kita... (sambil tunjuk gambar adik nun dekat dinding...)




Aduhai... sedihnya mummy dengar.. rasa nak ambil Nadime peluk bawak lari & nangis sama-sama.

Wednesday, August 10, 2011

Tiada kata-kata Rabu... hanya resipi...:)

Udang Buttermilk

Udang
Butter
Susu Cair
Daun Kari
Halia + bawang putih + serbuk kari + tepung gandum (perap udang)
Bawang Besar (cincang)
Bawang putih (cincang)
Cili Padi (hiris)
tepung jagung (pilihan)
Minyak Masak

Cara-cara:
1. Perap udang yang dibuang kulit, celup dalam tepung gandum dan goreng udang.Asingkan.
2.  Letak sikit minyak. Tumis butter sampai cair.Wangi. Masukkan bawang cincang dan cili padi.
(minyak untuk megelak butter menjadi hitam)
3.Dah wangi masukkan daun kari.
4.Masukkan susu cair sampai kuah cantik. (1 cawan)
5.Kacau-kacau + garam. nak likat tambah tepung jagung.
6. Masukkan udang yang telah digoreng siap.

Sedap sangat buat ratah.. kikikiki

Selamat mencuba... Mommies..

Tuesday, August 9, 2011

Milik Adik.

As-Salam Adik..




Adik, tak lama lagi birthday adik yer.. wah kejap je kan... dah nak masuk 2 tahun.. kalau hidup mesti dah pandai-pandai curik pakai mummy punya gencu... hahahah... Mummy tahu kalau adik ada adik mesti notty.. and manja dengan abang...kalau mummy babap mesti lari-lari pergi dekat abang...

Haritu mummy gelabah cari Mykad adik kengkonon nak laminate, sebab Mykad adik daddy simpan..(daddy''s girl lah kononnya, Mykad Nadime mummy yang simpan...) tup2 tanya daddy, daddy cakap polis/jabatan pendaftaran dah ambil dan lupuskan... hah What?? Alahai... Alahai..Alahai.. nak nagis rasa... kenapa lah mummy tak tahu..kalu mummy tahu dah lama mummy fotostat ke...apa ke.. Tu lah satu-satunya kad yang tertulis nama adik.. Surat beranak adik pun dah tak ada... OMG takde dah kenangan hari lahir adik...Kalu mummy tahu, mesti mummy dah buat sumthing.

Mummy tahu JPN ambil sebab nak ganti sijil baru, tapi mummy takde hati lah nak pergi ambil sijil tu. Adik dah dekat setahun....Tapi mummy dengan daddy masih tak pergi-pergi ambil sijil baru adik tu.. Entahlah dik...Mummy dengan daddy bukannya busy sangat pun...hari-hari lalu JPN kota damansara tu, tapi tak pernah terlintas nak pergi ambil.. Sudahnya nak dekat setahun... Insurans adik pun mummy tak claime sebab xde surat tu.. entahlah... sedih mummy bila nak claime insuran tu.... Uwaa sedihnya nak tuntut duit diatas kematian anak... Beriya mummy amik insurans tuh semata-mata nak tolong adik.. tapi tak dapat pun tolong adik masa adik tengah sakit, sebab tiada cure... tiada ubat yang boleh dibeli dengan duit insurans tu... itulah...orang kata nak hidup sekarang perlu duit semata-mata... tapi bagi mummy duit itu bukan segalanya...... ada ketika duit itu tak ubah seperti helaian kertas semata-mata...



Adik, insyaalah adik.. insyaalah nanti mummy pergi ambil sijil kematian adik tu... sebab ianya milik adik.
Peninggalan adik yang terakhir untuk mummy.



Al-Fatihah buat adik.





Monday, August 8, 2011

Tanah Kubur.

As-Salam..


Semenjak dua menjak ini, Astro banyak menyiarkan cerita-cerita yang memberi keinsafan, lebih-lebih lagi dibulan Ramadhan yang memberi seribu keberkatan ini. Harapan semoga cerita-cerita ini memberi seribu keinsafan kepada kita, manusia yang sentiasa diuji selagi belum tiba masa.

Bukan saja kepada kita malahan pengajaran-pengajaran ini turut memberi tempias yang baik pada anak-anak kita. Cerita-cerita pengajaran beginilah yang perlu dipertontonkan kepada anak sedari kecil agar mereka faham akan apa itu azab dan balasan Allah.

Salah satu cerita yang mummy sekeluarga sering tonton sejak 2-3 bulan lalu bersama Nadime adalah, Drama dari rangkaian OASIS yang bertajuk Tanah Kubur. Cerita ni setiap Jumaat jam 7.30 malam.


Drama bersiri ini mengisahkan seorang tua yang bernama Pak Adi yang bekerja sebagai penggali kubur yang mengalami beberapa pengalaman yang menginsafkan selepas jenazah dikebumikan dan ketika menggali kubur. Antaranya kemunculan ular hitam di liang lahad akibat amalan memakan riba, nisan mengeluarkan api kerana si mati sewaktu hayatnya suka mengumpat, liang lahad mengeluarkan air hitam
busuk kerana si mati dulunya suka memakan harta anak yatim..balasan akibat derkaha kepada orang tua, suami...dan balasan akibat mengamalkan ilmu hitam, gugurkan anak dan yang paling terkesan adalah episod dimana seoarang ibu tidak meredhai pemergian anaknya....

Bagi mummy drama bersiri ini adalah sangat  'lurus' dan mudah difahami untuk semua peringkat umur.Walaubagaimanapun sewaktu menonton bersama, kita digalakkan untuk bercerita dan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai sesuatu kisah dan tauladan dari apa yang dilakonkan di TV itu tadi.. Kerana ada kalanya, anak-anak ini masih kecil, dan tidak dapat menerima mesej yang ingin disampaikan secara terus menerus, jadi kita sebagai ibubapa perlu memainkan peranan untuk menerangkan kepadanya mengenai situasi-situasi ini. Bimbang anak-anak ini menyalah tafsir mengenai perkara-perkara yang ditonton tadi. Kadang-kadang kita sebagai ibubapa tidak mampu atau tidak cukup sumber untuk mendidik anak-anak kita. Dan melalui sumber-sumber inilah kita dapat meluangkan masa bersama sambil menerapkan nila-nilai yang baik.

Episod Tanah Kubur baru-baru ini memamaparkan kisah seorang isteri yang tidak menghormati suaminya sehingga sanggup memperbodohkan suaminya sendiri, dia juga sering mempersendakan dan tidak menghormati azan. Akibatnya, apabila meninggal jenazahnya telah dililit oleh seekor ular besar dan wajahnya bertukar menyerupai seekor anjing.

Kemudian ada satu cerita di TV1 tempoh hari, cerita yang bertajuk 100 hari. Cerita ini juga banyak memberi pengertian yang tersirat. Mengisahkan tentang perjalanan hidup 2 orang yang berbeza dalam menempuh 100 hari kematian. Kadang-kadang kita tidak sedar, hal-hal yang berlaku disekeliling kita, kerana kita sibuk mengejar dunia. Walaupun kita telah diperingatkan, malahan sering sahaja diperingatkan tentang azab -zab dan balasan, namun kita masih tidak mahu mengendahkannya. Kita ego, kerana terfikir kita masih punya banyak masa. Tak semua hamba Allah diberi keupayaan untuk mengesan tanda 100 hari ini. Berdoalah agar kita diantara yang terpilih agar dapat kita sama-sama memohon seribu keampunan sebelum kita dijemput pulang.

Selalunya cerita-cerita dan perkara-perkara yang menjadi santapan rohani dan memberi keinsafan beginilah, yang akan membuka mata kita bahawa betapa besarnya kuasa Allah SWT itu. Yang paling penting cerita-cerita pengajaran begini akan mengingatkan kita bahawa, mati itu pasti...hidup itu insyaalah.

Televisyen walaupun adakalanya dilabel sebagai punca anak-anak kita terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik, namun adakalanya  memberi kebaikkan yang tidak kita sedari. Sebenarnya ia terpulang kepada kita untuk menilai, mengawasi dan menentukan apa yang sepatunya anak kita lihat.

Berbalik kepada cerita-cerita yang menginsafkan tadi, 

Lumrah, adakalanya, kita sentiasa mengingatiNya, dan adakalanya kita lupa, dan bila kita tersedar kita pun menangis. Kemudian kita mengangkat tangan memohon keampunan.

Dan kemudian masih ada dosa yang berulang kembali, walaupun seperti tiada lagi ruang untuk kita kembali, kerana  keliru dengan kesilapan-kesilapan lalu... Kita malu,  Janganlah berputus asa... selagi pintuNya masih terbuka, selagi hayatmu masih ada dan selagi Dia menunggumu.

Tanda 3 hari kematian,
-Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan-

Tiada yang tidak benar, melainkan yang benar-benar belaka.



P/s- Walaupun pepatah berkata syurga itu dibawah telapak kaki ibu, namun mummy sungguh terharu setiap kali berjemaah, mummy tetap akan berdiri dibelakang Nadime....dan melihat sepasang telapak kaki itu tunduk ketika bersujud. Terasa lapang sungguh dada. Insyaalah, imam mummy suatu hari nanti.. Amin.


Kisah Pertemuan.

As-Salam..


Disubuh hening yang indah, genap Ramadhan ke-6 bersamaan hari sabtu lepas, mummy bermimpikan seorang anak yang amat mummy rindui.

Kedatangannya sungguh tidak disangka-sangka.Alhamdulillah syukur sangat mummy kepada tuhan... walaupun hanya melalui mimpi, namun masih jua mummy dapat menatap kedua belah matanya yang redup dan bersinar itu..

Adik, walaupun kita telah jauh terpisah, tetapi dengan keizinanNYA kita masih dapat bermesra seperti dulu. Biarpun ianya bukanlah kenyataan, namun tiada apa yang dapat mengambarkan betapa gembiranya mummy apabila dapat melihat dan memeluk adik sekali lagi setelah adik hilang sekian lama...

Adik, tiada yang paling indah selain memejamkan mata dan terlihat akan wajah dan susuk tubuh adik. Rambut adik masih kerinting ikal paras bahu. Adik leka berkejar-kejaran dengan abang.Sungguh comel memakai baju bebek.Ada ketikanya adik berpaling ke arah mummy dan melemparkan senyuman paling manis seperti dulu.Mainlah adik, main sampai penat bersama abang.. dah lama abang kempunan untuk bermain dengan satu-satunya adik kesayangannya ini.... Biarkan mummy melihatmu dari jauh.. Mummy tidak mahu lari mendapatkanmu...Mummy takut mummy terjaga.... kerana kali ini Mummy sedar mummy sedang bermimpi....

Tapi akhirnya, adik yang berlari mendapatkan mummy... adik mahu mummy mendukung adik ya.Adik mesti rindu untuk berdukung dengan mummy kan... Marilah adik, pelukan ini sentiasa terbuka untuk adik...pelukan ini amat merindui dan dahagakan adik...  Saat ini, mummy terasa seperti mummy tidak mahu terjaga lagi..biarlah mummy terus tidur dalam mimpi selama-lamanya...

Adik tak henti-henti ketawa...  Kemudian mummy nampak adik seperti dahaga... mummy pun bertanya.. Adik penat? Adik nak susu?

Adik anguk-anguk sambil ketawa... Adik tunggu yer mummy buatkan susu... Lalu mummy pun membuka beg Babysitter abang dan adik dulu...

Mummy cari-cari tapi tak jumpa...  mummy punggah semua baju.. masih tak jumpa.... mummy rasa macam nak nangis... mumy resah...  seperti dulu...mummy selalu resah setiap kali adik ingin minum susu...

Adik, maaf sayang mummy tak jumpa botol susu adik... Lagipun dah lama mummy tak nampak botol susu adik, kerana sejak adik pergi mummy simpankan botol susu adik dalam sebuah beg yang menyimpan barang-barang kenangan adik....Mummy tak tahu adik nak datang.. kalau mummy tahu tentu mummy ambil dan bawa tidur ... Maaf adik... Adik dahaga sangat ke.... Adik masih angguk-angguk dan senyum pada mummy...

Takpelah adik, biar mummy buatkan susu dalam botol abang saja.. adik pinjam botol abang ye.. Adik masih angguk-angguk dan senyum.. Senyum yang tak pernah hilang dari bibirnya....itulah anakku...tetap sama seperti dulu...

Lepas minum susu, adik nak tidur... mummy peluk dan dodoi adik...sambil nyanyi-nyanyi lagu Tepi Gunung Adik..... Kemudian mummy letak adik dalam buai... mummy dodoi-dodoi adik dalam buai... adik masih tak pejamkan mata... tapi asyik memandang mummy....
"Alanna... besarnya mata dia..kenapa tak mahu nak tidur lagi....."

Mummy pun ambil semula adik...mummy pangku dan bawak jalan-jalan.... mata Adik masih besar... Lalu mummy terlihat daddy tengah tidur di sebuah pangkin... daddy mungkin tak tahu mummy telah menemui Adik...  Kesian daddy, mummy tahu daddy pun terlalu merindui Adik...

"Daddy! Daddy...bangun... " Daddy berpaling... "Mummy ada adik, daddy nak pegang adik...?"
 daddy terus bangun nak mendapatkan adik..

Mummy lihat daddy tak henti-henti mengucup adik... seperti 1000 tahun tidak berjumpa... Daddy peluk adik..erat.. Daddy usap kepala adik..

Lalu adik pun tertidur.......dipangkuan daddy.

Begitulah kisahnya, secebis kisah pertemuan diantara 2 dunia yang jauh berbeza. Ianya antara ibu yang terpisah jauh dari anaknya. Namun tidak mustahil , ada waktu-waktu diizinkanNya untuk ibu mencurahkan kasih sayangnya walau untuk seketika...

Benarlah kasih ibu itu hingga ke syurga... terima kasih kerana menghadiahkan mummy sesuatu yang indah, agar dapat mummy kenang setiap kali mummy kerinduan...akan mummy ingat detik ini hingga kemati...kerana ia paling indah.. paling manis.. paling menyentuh hati...

Aku bersyukur ya Allah, kau sudi mendengar rintihan ini.

Hatiku hatimu
Menjadi satu cinta
Ku rasa hadirmu
Menyempurnakan aku
Tapi cinta bukan milik kita
Semua harus berakhir
Cinta kau dan aku
Takkan mungkin bersatu
Untuk saat ini di dunia ini
Mungkin kita bersama
nanti diatas sana
Biar ku setia menjaga cintamu
Selamanya

Tuesday, August 2, 2011

Baju Raya Super Duper Kiut Miut...

As-Salam...
Alanna, pun nak pakai baju raya tau...:P

Cemana persiapan baju raya anak-anak?? Yang untuk mak tak perlu tanya... mesti mak-mak punya 3-4 pasang dah siap 5 bulan lepas kan.. (bukan mummy eh..mummy baru je hantar tempah last week...sib baik tailor lama terima lagi..hahahha) Bagi yang dah ada anak tu, mesti excited sangat nak belikan baju raya yang cantik2 untuk anak sendiri kan. Bertuah ibuk-ibuk sekalian yang masih ada anak, especially baby gurl.... tengok macam mummy ni..bila tiba raya je, kempunan...

Pernah tengok baju kurung kiut miut tak?? Baju kurung dan baju melayu super kiut... Ni khas untuk ibuk-ibuk yang nak kelainan di Hari Raya...  Mostly baju kurung di pasaran biasa je kan... ni lain sikit.. agak sylish..

Alahai...cair dan hancur hati tengok baju kurung gegirl ni... kalau masih ada si anak yang perempuan yang kecik molek tu...memang harus mummy beli.... Macam nilah perasaan mummy, tengok baju cantik je dah boleh jadi sebak.. bergenang....
Namun apakan daya... Sebab janji Allah nak berikan baju yang lebih sempurna untuknya....

Cantiknya...suka tengok sweet je...



Nasib baik anak lelaki masih ada... comey kan yang ni.... harus disambar satu ni...:))


Ada banyak lagi tau... Kalau rasa-rasa suka... boleh tengok dan order banyak lagi stylish design kat sini  http://www.fionathalia.blogspot.com/ 
 
Sebab comey sangat, dengan ikhlas dan besar hati mummy tolong promote... kikiki
 
Selamat bershopping mommies!!!
 
p/s- teringin nak belajar menjahit so that dapat buat baju yang super duper kiut macam ni.,:))

Monday, August 1, 2011

Selamat Berpuasa.....

As-Salam,


Adik,

Gembira sangat hari ni, setelah 2 tahun berturut-turut mummy tak dapat turut serta berpuasa pada hari pertama . Masa 2009 sebab sarat mengandungkan adik , masa 2010 buln mengambang pulak...tapi Alhamdulillah tahun ni, diberi kesempatan lagi, seronok sangat dapat join daddy berpuasa pada hari pertama.

Kalau selalu mummy bangun pukul 6.30, hari ni daddy kejut mummy pukul 5....
"Mi..ooo ..mi... dah pukul 5 ..bangun..."

Hahahha... Tapi sebab excited nak puasa, so takde hal nak bangun, bersemangat ada.... Tapi mummy kejut daddy suruh sambung tidur kat sofa bawah sementara mummy sediakan sahur....sebab mummy takutle sorang-sorang kat bawah... pagi-pagi buta ni... daddy ok je...

Pagi tadi, kat dapur tak sunyi macam selalu, jiran-jiran belakang rumah semua dah bangun, riuh dengar ketung-ketang tengah goreng ikan masin kot.. aromanya sampai ke rumah kita hihi... Rasa seronok sangat... walaupun mummy dengan daddy sahur 2 orang je. Daddy request telur goreng sambal je, sebab pagi-pagi kan tak berapa nak selera...kena makan lauk yang simple-simple je. Mummy pula tak boleh nak makan nasi pagi-pagi, so mummy makan pisang sebiji dengan air soya bean je... Lagipun, bulan puasa ni...bolehlah buat 2 in 1...Puasa sambil berdiet...kikiki..

Lepas sahur, daddy sambung tidur, mummy duduk menjahit suar daddy yang koyak dengan button baju sekolah abang yang tercabut. Lepas iron baju semua, mummy mandi dan terus sembanyang subuh. Bila terdengar sayup-sayup orang baca Quran dari surau berdekatan, mummy teringatkan adik... Dulu time-time subuh lepas sahur lah mummy tiba-tiba sakit perut nak bersalinkan adik.. adik ingat tak?? Betul-betul lepas buatkan daddy mee goreng, mummy terus sakit perut... masa mandi terjongket-jongket mummy pegang perut sebab contraction.. tersenyum mummy bila mngingatkan semua tu...

Lepas sembahyang subuh tadi, mummy minta doa pada tuhan agar sampaikan salam rindu yang tidak tertanggung ini pada adik... dan minta agar mummy dapat mimpi adik, cukuplah kalau dapat lihat adik senyum macam dulu pada mummy... Lepas tu mummy pun baring atas sejadah dan pejam mata....sambil membayangkan adik....mummy tunggu adik datang..... mummy pun tertidur...

Sedar-sedar dah pukul 7.15... tapi adik tak datang pun dalam mimpi mummy.... Hampa juga mummy, tapi takpelah mungkin mummy kena berdoa banyak-banyak lagi... Tak pe dik..mummy akan selalu tunggu adik... walaupun hanya dalam tidur mummy akan akan tunggu adik.. hingga akhir nanti...

Bulan puasa dapat balik awal, 5.30 ptg. Nak masak apa ya hari ni?? Ayam dan Udang mummy dah defrost letak kat bawah.. Nanti balik terus boleh masak, tak yah tunggu-tunggu.. Ya lah mummy takde pembantu, semua kena buat sendiri, kalau ada pembantu senang sikit kan, diorang dah potong-potong.. kita balik masak je... Huhu... Xde idealah. Nanti leh google2 resiep kat tenet.

Oh semalam, mummy masak Salmon, kangkung belacan dan udang goreng untuk dinner. Mummy suka sangat makan salmon. Pantang pergi Giant KD mesti nak beli.. tambah-tambah bila masak kampung style.. menyesal semalam beli sekeping je... masak sekali habis.. hari ni dah teringat-ingat isi Salmon lagi... Nak kena singgah Giant lagi bebila ni... Tapi sekeping ni je dah rm8 hengget. hahahah.
Siapa suka makan Salmon... Angkat tangan!!! :)) 
Sempena bulan puasa ni mari  kita uji iman dan cuci mata.. :P

Salmon Sumbat Cili :))

Ikan Salmon
Garam
Lada Hitam
(perap ikan)

Cili Giling Puteri
Bawang Merah - 1 biji
Bawang putih-  2 ulas
Ikan bilis - 6-7 ekor
Cili padi- ikut suka


1. Perap ikan kejap. Dan goreng dengan minyak yang sikit kemudian asingkan (ikan nih banyak keluarkan minyak)
2. Tumbuk bawang putih, bawang merah, ikan bilis dan cili padi.
3. Tumis bahan-bahan tumbuk sampai wangi, masukkan cili giling Puteri. Dan tumis sampai pecah minyak.
(mummy suka pakai cili giling puteri kalau buat sambal ayam atau ikan, sebab dalam cili giling ni dah letak asam jawa + garam. Lagipun rasa dia sedap....:)
4. Tambah gula dan aji. Siap.

Akhir sekali .. Selamat berpuasa kepada mommies... selamat memasak, selamat berbuka dan berterawikh.
Semoga semua amalan kita disepanjang bulan ramadhan ni diterima olehnya..


Followers