Pada entry sebelum ni I ada minta pendapat dari parent,family,rakan-rakan dan juga pakar. Setelah difikirkan masak-masak,akhirnya kami mengikut gerak hati sendiri. Pagi itu selepas Subuh dady menyatakan untuk tidak melakukan tracheostomy untuk Alanna. Bagi kami keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk Alanna walaupun berulang-ulang kali doktor-doktor pakar menerangkan betapa pentingnya untuk tracheostomy.
Pagi ni Alanna dissect lagi.Entah dimana silapnya. Pada hari sebelumnya dari siang hingga malam alanna tidak tidur. Dirinya seolah-olah serba tak kena.I call dady yang dalam perjalanan dari rumah memberitahu Alanna dissect dan doktor bertanyakan samada alanna perlu incubate atau tidak. Selang 2 minit dady sms menyatakan untuk tidak incubate, tunggu sehingga dady sampai.
Dady sampai tepat jam 9pagi terus duduk disebelah alanna sambil mengusap-usap kepalanya. Sambil I membacakan yassin disisi alanna, dady keluar untuk kesurau sebentar.Tidak lama selepas itu dady datang dan sekali lagi dady menyatakan untuk tidak incubate alanna setelah melihatkan keadaan alanna yang begitu tenat pada ketika itu. Sebelum ini doktor pun ada menyatakan keburukan untuk incubate alanna untuk kali ketiga ataupun berulang-ulang kali. Kami redha dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku dan merelakan ketentuan Allah. Pada ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan kami yang tidak sanggup melihat alanna tercungap-cungap seperti itulah pengakhiran hidupnya. Air matanya sesekali mengalir,namun tak bersuara. Tapi kuasa tuhan mengatasi segalanya, semangat alanna semakin kuat,dia seolah-olah mendapat seluruh tenaga yang entah dari mana datangnya. Lebih kurang jam 11 pagi, tiba-tiba alanna berhenti tercungap, dan bernafas seperti biasa, seperti tiada apa yang berlaku. Namun dapat dilihat anak kecil itu amat keletihan. Matanya bengkak. Mukanya pucat. Namun syukur Alhamdulillah, dia selamat.Kagum kami melihat semangatnya.
Setelah difikirkan kembali, akhirnya kami berdua terpaksa bersetuju dengan cadangan doktor untuk tracheostomy. Kami tidak sanggup melihat kejadian pagi tadi berulang kembali. Walaupun perit, kami terpaksa menolak segala yang negatif dan menerima satu-satunya kebaikan tracheostomy dalam situasi alanna. Jika yang pahit itu terbaik untuknya,kami rela. Setelah bersetuju, doktor Shanti segera membuat temujanji dengan doktor pakar bedah dan bius. Segalanya berjalan dengan begitu pantas, kami berbincang keadaan alanna dengan doktor pakar bedah, dan mereka menjangkakan alanna dapat dibedah pada esok pagi. Bergantung kepada keadaan, jika tiada kes kecemasan, alanna akan dibedah lebih awal. Dalam pada masa yang sama doktor Shanti mencadangkan untuk membuat saluran pemakanan tambahan diperutnya, sekaligus bersama pembedahan untuk tracheostomy. Tetapi setelah berbincang dengan pakar bedah, melihat keadaan alanna yang hati dan limpanya membengkak, mereka tidak menyarankan untuk melakukannya dalam masa terdekat, dan juga mereka menerangkan prosedur itu kebiasaannya dilakukan untuk pesakit yang betul-betul memerlukannya, dan menjangkakan jangka hayat pesakit yang lebih panjang. Apa yang mereka bayangkan untuk jangka hayat alanna? Apa jua perkiraan mereka, tuhan saja yang tahu.Ajal dan maut ditangan-Nya'.Namun begitu, perbincangan dan menelitian lebih terperinci akan dilakukan juga untuk alanna oleh Dato Zakaria, salah seorang pakar bedah yang berpengalaman.
Setelah segalanya dipersetujui, alanna akan melalui pembedahan untuk tracheostomy pada awal pagi esok (Jumaat 30/4/2010). Kami amat berharap dan berdoa dia selamat. Dan jika itu jalan yang terbaik untuknya, kami harap ianya dapat memudahkan dan mengelak tragedi sesak nafas berulang lagi. Jika ini takdir dan jalan hidupnya, kami redha dan berserah kepada Allah yang mencipta segalanya dan maha mengetahui seluruh alam dengan zatnya.InsyaAllah alanna kuat, semangatnya untuk kembali bersatu bersama kami begitu kuat selepas melalui berbagai dugaan yang menyeksakan, semoga Allah melindungi dia dari sengsara dan kesakitan. Amin

p/s: Terima kasih kepada rakan-rakan di MLA yang datang melawat petang tadi, dan JIEY (Rayyan Ariff) yang sanggup meredah hujan dan kesesakan untuk sampai ke HKL. Dan sahabat-sahabat yang tak putus telefon dan sms bertanyakan alanna.Thanks for your support.












